Header Ad Banner

Monday, October 10, 2016

UTUSAN BORNEO 7/10/2016: DAP bantah Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik

DAP bantah Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik( October 7, 2016, Friday)
KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Cawangan Sibu membantah cadangan kerajaan Barisan Nasional (BN) memperkenalkan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik baru-baru ini.
Bantahan tersebut dibuat oleh Paren Nyawi yang merupakan pembantu khas kepada Ahli Parlimen Sibu menerusi satu kenyataan semalam.
Menurut Paren, walaupun kerajaan BN menyatakan bahawa tujuan akta ini adalah untuk melaksanakan keterbukaan dan ketelusan dalam arena politik negara, tetapi DAP merasakan ini merupakan plot untuk menganiaya penderma daripada pihak pembangkang.
Selain daripada itu, akta ini juga akan merombak undang-undang pilihan raya sedia ada tentang had dana berkempen untuk Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pilihan Raya Parlimen.
Mengikut akta sedia ada, dana untuk berkempen dihadkan sebanyak RM100,000 untuk Pilihan Raya DUN dan RM200,000 bagi Pilihan Raya Parlimen.
“Sekiranya akta baharu ini diperkenalkan, ia akan menaikkan jumlah dana untuk berkempen pilihan raya dan menggalakkan lagi politik wang terutama di kawasan pedalaman Sarawak seperti yang biasa dilakukan oleh BN pada pilihan raya sebelum ini.
“Akta ini juga mengkehendaki derma politik yang berjumlah RM3,000 setahun diisytiharkan yang mana tidak memihak kepada pembangkang.
“Ini akan menyebabkan penderma politik terutama perniagaan persendirian takut untuk menyumbang dana kepada parti pembangkang apabila terpaksa mengisytiharkan derma mereka kerana bimbang lesen dan permit perniagaan mereka akan ditarik balik,” dakwa Paren.
Dakwa Paren lagi, amat jelas bahawa akta ini memihak kepada parti yang memerintah kerana syarikat besar dan kecil yang menderma kepada kempen mereka selepas menang pilihan raya akan dianugerahkan tender dan peluang perniagaan lain yang melibatkan kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low sebelum ini berkata draf akta ini merangkumi 32 cadangan yang merangkumi aspek berkaitan dengan sumbangan politik dan pentadbiran, perbelanjaan, pembiayaan aktiviti politik dan mengawal selia hubungan antara politik dan perniagaan.
Antara cadangan oleh Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) yang dipengerusikan Low adalah tidak ada had ke atas jumlah yang boleh didermakan kepada mana-mana parti atau ahli politik.
Sumbangan asing, perniagaan milik kerajaan dan syarikat terima kontrak kerajaan diharamkan begitu juga dengan sumbangan dalam bentuk tunai daripada sumber asing kepada parti politik termasuk sumbangan daripada individu, syarikat, yayasan, organisasi, persatuan atau mana-mana entiti berdaftar atau tidak yang berdaftar di Malaysia.
Tetapi, sekiranya sumbangan itu dalam bentuk program latihan bagi meningkatkan prestasi Ahli Parlimen, ia sepatutnya tidak menjadi masalah kerana yang membimbangkan ialah sumbangan secara terang-terangan.
Cadangan ini antara lain menyebut ahli politik yang ingin mendapatkan sumbangan perlulah mempunyai akaun bank khusus bagi tujuan menerima dan membelanjakan dana bagi kerja-kerja politiknya.

No comments:

Follow by Email

Search This Blog