Header Ad Banner

Wednesday, February 8, 2017

SARAWAK sebagai Deposit Tetap BARISAN NASIONAL

   

Kerajaan Negeri Sarawak yang menyumbang kepada 25 kerusi Parlimen kepada Kerajaan Persekutuan di dalam Barisan Nasional semasa PRU ke-13 lalu masih dilihat sebagai Kubu Kuat atau Deposit Tetap kerajaan Barisan Nasional menjelang PRU ke-14 yang akan datang. Kerajaan Negeri Sarawak yang menang bergaya semasa PRN ke-11 yang lalu dilihat akan mengekalkan pencapaian cemerlang mereka pada PRU ke-14 yang akan datang oleh pemerhati politik tempatan dan juga pemimpin kerajaan persekutuan. Dengan BN-UMNO di Semenanjung Malaysia dan Sabah dilihat akan mendapat tentangan sengit dari pakatan pembangkang, kerajaan Sarawak sekali lagi diharap akan meyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional.

Dengan senario politik tempatan Sarawak yang dilihat tidak tergugat dengan isu nasional seperti isu GST, skandal 1MDB, KWSP, Tabung Haji, FELDA dan juga pelbagai skandal penyelewangan yang lain, kerajaan persekutuan jelas merasa selesa dengan pencapaian semasa BN Sarawak sekarang. Kesediaan kerajaan pusat baru – baru ini menghadiahkan kerajaan negeri Projek “Mega PAN Borneo” seperti yang telah dijanjikan sekian lama dilihat sebagai suatu kejayaan besar oleh kerajaan Barisan Nasional, seterusnya dijadikan suatu simbol pencapaian BN terhadap janji dan manifesto pilihan raya mereka sebelum ini selain dijadikan modal kempen PRU ke-14 yang akan datang untuk mengambil hati pengundi negeri ini. Pada hakikatnya, kejayaan besar BN Sarawak di dalam PRN ke-11 masih tidak mampu untuk menarik perhatian Kerajaan Persekutuan apabila hanya RM1.5 bilion diperuntukkan kepada projek mega tersebut pada pembentangan Bajet 2017 yang disalurkan melalui Jabatan Perdana Menteri yang dikongsi bersama Sabah. Ini adalah terlalu jauh jika dibandingkan dengan projek mega di semenanjung yang mendapat peruntukkan RM50 bilion sehingga RM55 bilion.

Kesungguhan BN Sarawak sekali lagi tercalar apabila keputusan DUN Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Ke-5 tidak membentangkan usul tuntutan Hak Sarawak bagi tujuan meminda Perlembagaan Persekutuan pada Persidangan DUN yang lepas adalah suatu kepincangan yang nyata di depan mata pengundi Sarawak amnya, dan penyokong tegar BN khasnya di dalam kesungguhan kerajaan BN menepati janji dan manifesto pilihan raya kerajaan BN di Sarawak. Barisan Nasional Sarawak yang pada awalnya mencanangkan kesungguhan mereka di dalam mempertahankan Hak Sarawak sehingga menyatakan kesediaan mereka untuk membentangkan usul komprehensif di dalam persidangan DUN telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pembentangan usul tersebut pada saat akhir. Dengan alasan bahawa BN Sarawak yakin dengan jaminan Kerajaan Persekutuan akan memberi kerjasama positif berkaitan tuntutan Hak Sarawak sebagaimana di dalam Malaysian Agreement 1963, jelas menunjukkan bahawa BN Sarawak tidak bersungguh – sungguh memberi tekanan kepada kerajaan persekutuan yang dipelopori BN-UMNO di dalam menuntut hak Sarawak meskipun pihak pembangkang telah jelas menunjukkan sokongan mereka terhadap perkara ini.


Justeru, kemesraan Kerajaan Persekutuan BN-UMNO dengan Kerajaan Negeri Sarawak BN-PBB pada hakikatnya hanyalah atas dasar politik semata – mata, iaitu untuk mendapatkan sokongan dan undi penduduk Sarawak amnya, penduduk luar bandar khasnya dan bukannya satu dasar mampan yang ikhlas di dalam memperjuangkan hak dan nasib pengundi yang telah mengundi mereka pada setiap pilihan raya yang merupakan penduduk peribumi. Penduduk setempat seharusnya sedar akan risiko yang akan bakal mereka hadapi sekiranya mereka meneruskan tradisi mengundi sedia ada, mereka akan kehilangan 50 tahun akan datang sebagaimana mereka telah terkebelakang sejak lebih 50 tahun dahulu.


Paren Anak Nyawi
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Sibu –YB Oscar Ling

1 comment:

ابو ياسين said...

هل تبحث عن شركة متخصصة فى مكافحة الحشرات نحن نقدم لكم افضل شركة مكافحة حشرات فى الدمام كما انه تقدم خدمة متميزة ايضا وهى تنظيف المنازل والمجالس والفلل والقصور وسبب تقديم هذه الخدم انه تهتم بالاناقة والمنظر الخلاب والصحة العامة خدمات شركتنا كاتالى شركة مكافحة حشرات بالدمام
شركة تنظيف بالدمام
شركة تنظيف مجالس بالدمام

Follow by Email

Search This Blog